Refleksi

    BMM2064 Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer merupakan salah satu kursus dalam Semester 3 bagi memenuhi Program Diploma Perguruan Malaysia (KDC, SABK).  Syukur kepada Yang Maha Esa kerana saya telah dapat mempelajari sesuatu yang amat penting untuk menjadi seorang guru yang berwibawa. Ucapan terima kasih ditujukan kepada pensyarah-pensyarah yang membimbing saya iaitu Tuan Haji Abdul Latib bin Abd Rahman dan Encik Nor Azam bin Ariffin.

    Saya bukanlah seorang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam komputer.  Pengetahuan sedia ada saya hanyalah pengaplikasian komputer yang asas seperti Microsoft Word dan Powerpoint serta melayari internet.  Dalam kursus ini, banyak pengetahuan baharu yang amat berguna untuk saya aplikasikan dalam kerjaya saya sebagai seorang guru.  Sebagai memenuhi tugasan projek, saya telah dibantu oleh pensyarah untuk membina e-portfolio untuk tujuan penilaian.  Dalam tugasan ini, saya dikehendaki membuat dua projek secara individu dan berkumpulan. E-portfolio merupakan satu portfolio yang dihasilkan menggunakan teknologi digital melalui atas talian.  Sebagai seorang yang kurang mahir dalam aplikasi komputer, ia merupakan cabaran yang agak besar bagi saya. Namun, bimbingan daripada pensyarah-pensyarah amat membantu saya dalam menyempurnakan tugasan ini.  Begitu juga dengan rakan kumpulan iaitu Emy Syakila dan rakan-rakan sekelas yang lain turut membantu serta tidak lokek dengan ilmu yang mereka ada.

    Kaedah dan teknik pengajaran Bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan alaf ke-21 iaitu teknologi komputer.  Oleh itu saya sebagai guru Bahasa Melayu perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi.  Penggunaan komputer dalam pengajaran Bahasa Melayu merupakan satu usaha untuk membantu pelajar menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu iaitu kemahiran lisan, membaca dan menulis. Pengaplikasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi dapat membantu untuk mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.  Bahan-bahan yang diperoleh oleh guru daripada internet seperti gambar, video dan animasi dapat membantu menarik minat pelajar terhadap pembelajaran.  Pelajar kini begitu terdedah dengan dunia siber dan salah satu cara untuk menarik minat mereka untuk belajar adalah dengan membawa dunia mereka di dalam pembelajaran.

    Melalui kursus ini, saya dapat mengaplikasikan pengetahuan tentang internet, laman web, pembelajaran secara dalam talian dan luar talian.  Saya dapat memilih bahan yang sesuai dan menarik daripada internet untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.  Seterusnya bahan-bahan yang diperoleh dibina dan diedit secara dalam talian dan luar talian.  Kursus ini memberi pendedahan tentang cara mengintegrasikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Saya berharap dalam mengaplikasikan semua yang dipelajari dalam kursus ini untuk meningkatkan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, seterusnya membantu para pelajar menguasai kemahiran berbahasa.